Teknologi fNIR Baharu Mendedahkan Aktiviti Otak dengan Pengimej Berkuasa untuk Situasi Dunia Nyata

Sistem yang menawarkan keselesaan dan mobiliti untuk mengukur subjek manusia di makmal, di rumah atau di dunia nyata


GOLETA, Calif., Jan. 04, 2019 (GLOBE NEWSWIRE) -- BIOPAC Systems, Inc., pengedar global untuk fNIR Devices, mengumumkan bahawa sistem pengimejan optik inframerah dekat fungsian (fNIR) generasi terbaharunya kini tersedia. Sistem pengimejan ketumpatan tinggi baharu ini menyediakan penilaian fungsi kognitif dalam makmal atau dunia nyata untuk penyelidik fisiologi yang mahu memahami aktiviti otak tanpa menggunakan fMRI.

Sensor yang ringan dan selesa dipakai di kepala memantau perubahan relatif dalam oksihemoglobin atau deoksihemoglobin sebagai proksi aktiviti otak dalam korteks prafrontal. Subjek boleh diperiksa di dalam makmal atau dalam keadaan aktif di persekitaran semula jadi mereka dengan sistem fNIR mudah alih baharu.

Sistem NIRS baharu ini menawarkan tiga pengimej berkuasa. fNIR 2000C ialah unit pegun yang mengumpul data sehingga 18 optode. fNIR 2000M ialah pengimej wayarles mudah alih yang mengumpul data sehingga 18 optode dan boleh digunakan semasa subjek menjalankan tugas di dalam makmal atau dunia nyata. fNIR 2000S ialah pengimej yang mampu menyokong 54 optode dengan ciri canggih untuk merakam sehingga tiga subjek serentak.

Sensor tembus rambut baharu bakal membolehkan para penyelidik menilai kawasan otak yang lain seperti korteks motor dan visual. Penambahan kawasan otak yang berbeza akan meningkatkan pemahaman tentang aktiviti otak tanpa komplikasi fMRI.

Semua sistem disertakan dengan perisian fNIRSoft dan COBI untuk pengumpulan dan analisis data. Data boleh diselaraskan dan diimport ke dalam AcqKnowledge Software untuk pemahaman sepenuhnya tentang tindak balas fisiologi, termasuk EEG, EDA, ECG, BP dan isyarat fisiologi penting yang lain.

“Rekaan eksperimen yang lebih sofistikated boleh dilakukan dengan teknologi mudah alih ini. Ia memberi peluang kepada para penyelidik untuk mengumpul data daripada subjek ketika mereka menjalani rutin harian.” kata Frazer Findlay, CEO BIOPAC. “Pengimejan mudah alih dapat menambah nilai ke sebarang kajian, dan amat penting terutamanya jika subjek merupakan kanak-kanak atau ahli keluarga kerana mereka berpeluang untuk berada di persekitaran yang dikenali atau selesa, lalu menghasilkan keputusan yang lebih baik.”

“Semasa mereka bentuk dan mengilangkan fNIR Devices, kami memutuskan untuk tidak memberatkan kepala subjek dengan bateri dan alat elektronik tambahan. Hasilnya, pengimej kami, termasuklah yang wayarles, mampu mengukur tindak balas hemodinamik otak dengan kurang berat dan keselesaan maksimum.” kata Davood Tashayyod, CEO fNIR Devices. “Sistem fNIR Devices amat mudah disediakan dan selesa untuk subjek. Subjek yang selesa menghasilkan data dengan kualiti lebih baik dan boleh menyertai kajian jangka pendek dan jangka panjang.”

Pengimejan fNIR dan NIR telah dipetik dalam lebih 132,000 penerbitan. Aplikasi NIR termasuklah Antara Muka Komputer Otak, Penilaian Prestasi Manusia, Pemulihan Neuro, Pemantauan Kedalaman Anestesia dan banyak lagi. Teknologi fNIR juga boleh digunakan untuk memahami pengoksigenan darah otot.

Hubungi BIOPAC untuk maklumat lanjut tentang menggunakan teknologi fNIR bagi mengukur subjek bergerak dalam situasi dunia nyata, subjek pegun di makmal atau semasa mengajar dalam persekitaran pendidikan.

Perihal BIOPAC Systems

BIOPAC ditubuhkan pada 1985 dan diiktiraf di seluruh dunia sebagai pilihan utama untuk perkakasan dan perisian sains hayat. Di seluruh dunia, lebih 99% universiti 100 teratas dan syarikat Global Fortune 500 bergantung pada sistem BIOPAC untuk keperluan kajian sains hayat dan sistem pengajaran mereka. BIOPAC menghasilkan alatan saintifik berkualiti tinggi untuk ukuran dan tafsiran fisiologi. Penyelesaian BIOPAC meliputi penyelesaian pendidikan hingga peranti canggih untuk kegunaan makmal, dunia sebenar dan persekitaran kajian realiti maya. Untuk maklumat lanjut tentang produk BIOPAC, lawati www.biopac.com.

Perihal fNIR Devices

Ditubuhkan pada tahun 2009, fNIR Devices, LLC, ialah pembekal utama sistem pengimejan Spektroskopi Inframerah Dekat Fungsian (fNIR) Gelombang Selanjar untuk penyelidikan dan kegunaan bukan klinikal lain. fNIR Devices membekalkan penyelidik fisiologi dengan sistem yang direka teliti untuk memantau hemodinamik otak, dan dengan itu memahami keadaan kognitif subjek dalam makmal dan persekitaran semula jadi.

Foto yang disertakan dengan pengumuman ini boleh didapati di http://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/ea24834a-8a45-4d6c-a5d8-46271fa5f249

Hubungan:
Brenda Dentinger
Pengurus Pemasaran
BIOPAC Systems, Inc.
brendad@biopac.com