Gaji MBA di AS Tertinggi dalam Rekod

Siswazah MBA Terus Merealisasikan Premium Gaji Merentas Pasaran Pengambilan


RESTON, Va., May 28, 2019 (GLOBE NEWSWIRE) -- Graduate Management Admission Council (GMAC), persatuan global peneraju sekolah pengajian perniagaan, dalam kerjasama dengan MBA Career Services & Employer Alliance dan European Foundation for Management Development (EFMD), telah mengeluarkan Laporan Pengambilan Sekolah Perniagaan berdasarkan dapatan daripada Tinjauan Perekrut Korporat, dengan lebih daripada 1,200 majikan di 45 negara memberikan maklumat tentang trend pasaran dan pengambilan semasa dalam kalangan siswazah MBA dan sarjana perniagaan.   

Siswazah baharu dengan ijazah perniagaan lanjutan, terutamanya di AS, memperoleh gaji permulaan yang tinggi.  Median gaji permulaan asas tahunan yang ingin ditawarkan oleh majikan AS kepada calon MBA baharu pada 2019 ialah US$115,000, lebih daripada dua kali ganda median untuk calon ijazah sarjana muda baharu (US$55,000) dan yang tertinggi pernah direkodkan di AS apabila dilaraskan untuk inflasi.  Median gaji permulaan MBA dalam kalangan majikan AS mengikut industri adalah tertinggi dalam industri perundingan (US$135,000) dan kewangan/perakaunan (US$125,000).

“Ini jelas menunjukkan bahawa majikan menitikberatkan pengambilan siswazah MBA dan sarjana perniagaan,” kata Sangeet Chowfla, Presiden dan CEO GMAC.  “Kami melihat pasaran calon yang amat aktif dari segi anjakan geografi dalam destinasi pengajian, tetapi nilai yang majikan dan siswazah lihat dalam ijazah perniagaan lanjutan kekal sama”.

Secara keseluruhan, kebanyakan majikan bercadang untuk meningkatkan gaji permulaan MBA pada 2019 (56%), termasuk 63 peratus majikan Asia Pasifik, 56 peratus majikan AS dan 49 peratus majikan Eropah. Median gaji permulaan asas tahunan berbeza-beza mengikut rantau dunia. Syarikat Eropah bercadang untuk menawarkan sebanyak US$95,000 untuk calon MBA baharu tahun ini dan median untuk syarikat Asia Pasifik ialah US$45,000.

Rancangan pengambilan antarabangsa syarikat AS adalah serupa dengan tahun lepas; perubahan peraturan H-1B terkini mampu mempengaruhi pengambilan 2020 secara positif.

Empat puluh lapan peratus majikan AS bercadang atau mahu mengambil calon antarabangsa pada 2019, lebih kurang sama seperti 2018 (47%) dan menurun daripada 55 peratus pada 2017. Tinjauan tahun ini dilakukan pada Februari dan Mac, sebelum perubahan peraturan H-1B terkini menjadi rasmi pada 1 April. Perubahan peraturan itu akan memanfaatkan siswazah antarabangsa dengan ijazah lanjutan daripada institusi pengajian tinggi AS berbanding siswazah dengan ijazah sarjana muda.

“Terdapat ketidakpastian baru-baru ini tentang hala tuju dasar visa AS, yang mempengaruhi trend pengambilan dan permohonan antarabangsa,” Chowfla menyambung.  “Menarik untuk melihat sebanyak mana impak positif daripada perubahan peraturan ini terhadap aliran pelajar antarabangsa ke AS dan peluang pekerjaan mereka”. 

Rancangan pengambilan majikan MBA kekal kukuh tetapi telah menjadi sederhana untuk tahun kedua berturut-turut.

Walaupun unjuran pengambilan MBA kekal kukuh berbanding trend lampau, untuk tahun kedua berturut-turut, kadar syarikat yang lebih rendah telah melaporkan rancangan untuk mengambil calon MBA berbanding tahun lepas.  Antara majikan AS, 77 peratus bercadang untuk mengambil calon MBA pada 2019, berkurang untuk tahun kedua berturut-turut.  Kadar syarikat AS yang lebih rendah sedikit melaporkan rancangan untuk berkembang tahun ini (66%) berbanding tahun lepas (69%), kerana kebimbangan berkaitan dengan khabar angin tentang perang dagangan dan tarif yang lebih tinggi mungkin mempengaruhi rancangan majikan. 

Hampir sembilan daripada 10 (87%) syarikat di Asia Pasifik bercadang untuk mengambil calon MBA pada 2019—terbanyak berbanding dengan sebarang rantau dunia, walaupun kurang sedikit berbanding tahun lepas (90%). Hampir 7 daripada 10 syarikat Eropah bercadang untuk mengambil calon MBA pada tahun 2019 (69%), meningkat daripada unjuran 2018 (64%).

Trend dan Faktor Penentu Pengambilan Antarabangsa Lain

Pengambilan antarabangsa sedang meningkat dalam kalangan syarikat Asia Pasifik dan Eropah manakala syarikat AS terus menurun. Tujuh puluh satu peratus syarikat Eropah dan 69 peratus syarikat Asia Pasifik bercadang atau mahu mengambil calon antarabangsa pada 2019, kedua-duanya meningkat berbanding tahun baru-baru ini.

Di serata rantau dunia, terdapat sebab-sebab yang berbeza untuk tidak mengambil bakat antarabangsa berbeza-beza. Majikan AS lebih cenderung untuk menyatakan ketidakpastian tentang perubahan akan datang dalam dasar/undang-undang sebagai faktor (25%), yang menyerlahkan lagi impak positif yang mungkin berlaku berikutan perubahan peraturan H-1B.  Manakala di syarikat Eropah atau Asia Pasifik, 15% dan 11% menyatakan dasar/undang-undang sebagai faktor penentu dalam pengambilan.

“Kajian terbaru kami melaporkan penurunan dalam syarikat AS yang merekrut pelajar antarabangsa daripada MBA dan program ijazah sarjana khusus berdasarkan ketidakpastian tentang keadaan ekonomi,” kata Megan Hendricks, Pengarah Eksekutif untuk MBA Career Services & Employer Alliance.  “Walaupun penurunan rancangan perniagaan AS untuk mengambil bakat luar dalam laporan GMAC tahun ini kekal stabil, kami berharap perubahan peraturan visa H-1B terkini akan menggalakkan pelajar untuk belajar di AS bagi mempelbagaikan kelas dan himpunan bakat sekolah perniagaan”. 

“Laporan GMAC tahun ini tentang trend pengambilan MBA dan GME menunjukkan banyak peluang yang dimiliki oleh siswazah apabila mereka menamatkan pengajian perniagaan mereka,” kata Eric Cornuel, Pengarah Am & CEO EFMD.  “Peningkatan kualiti sekolah perniagaan di seluruh dunia juga telah dibalas dengan peluang pekerjaan yang meningkat untuk siswazah dalam pasaran baharu dan ekonomi rantau.  Sekarang ialah masa yang mengujakan untuk mengambil MBA dan ijazah sarjana perniagaan”.   

Tinjauan terhadap calon sekolah perniagaan menyerlahkan kepelbagaian peluang kerjaya yang diburu oleh pelajar dengan GME.

GMAC mengeluarkan Laporan Aspirasi Kerjaya baharu berdasarkan data selama 10 tahun daripada Tinjauan Bakal Pelajar mba.com. Laporan baharu itu menekankan bagaimana pelbagai aspirasi calon GME untuk kerjaya mereka selepas GME berubah mengikut masa, memandangkan kini lebih ramai calon mahu meningkatkan laluan kerjaya semasa (41%) daripada menukar fungsi kerja (36%) atau industri (27%).

Minat calon dalam rundingan adalah tinggi, sebanyak 36 peratus menganggapnya sebagai fungsi kerja dan industri yang dimahukan. Industri lain yang dimahukan termasuklah kewangan/perakaunan (34% calon menunjukkan minat), produk/perkhidmatan (27%) dan teknologi (19%).  Keinginan terhadap pekerjaan antarabangsa juga meningkat sedikit (2%).

Laporan ini menampilkan pecahan demografik terperinci tentang minat kerjaya calon selepas GME, termasuk mengikut jantina, umur dan kewarganegaraan rantau dunia.  Sila lawati Maklumat Pasaran dan halaman Kajian di gmac.com untuk mendapatkan kemas kini berterusan tentang isu ini dan isu-isu lain yang berkaitan trend dalam pendidikan pengurusan siswazah.

Perihal GMAC

Graduate Management Admission Council (GMAC) ialah persatuan sekolah perniagaan siswazah di seluruh dunia. Diasaskan pada tahun 1953, kami komited untuk mencipta penyelesaian bagi sekolah perniagaan dan calonnya meneroka, menilai dan berhubung dengan satu sama lain. Kami bekerja bagi pihak sekolah dan komuniti pendidikan pengurusan siswazah dan membimbing calon dalam perjalanan mereka ke pendidikan tinggi bagi memastikan tiada bakat yang ketinggalan.

GMAC menyediakan penyelidikan bertaraf dunia, peluang pembangunan dan penilaian profesional untuk industri yang direka untuk meningkatkan seni dan sains pemasukan. Dimiliki dan ditadbir oleh GMAC, Graduate Management Admission Test™ (GMAT™) ialah penilaian sekolah perniagaan siswazah yang paling meluas digunakan, diiktiraf oleh lebih daripada 7,000 program di seluruh dunia. Penilaian GMAC lain termasuklah peperiksaan NMAT oleh GMAC™ (NMAT™), untuk kemasukan ke program pengurusan siswazah di India dan 10 negara lain dan Penilaian Eksekutif (EA), direka bentuk khusus untuk program esekutif di seluruh dunia.

Portal utama kami untuk sumber dan maklumat tentang pendidikan pengurusan siswazah, www.mba.com menerima 7 juta kunjungan setahun dan menampilkan alat carian Carian Sekolah dan perkhidmatan carian GMASS™ yang memadankan calon dengan sekolah perniagaan.

GMAC ialah organisasi global dengan pejabat di Hong Kong, China, Gurugram, India, Singapura, London; United Kingdom dan Amerika Syarikat. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang usaha kami, sila lawati www.gmac.com.

Hubungan media:
Geoffrey Basye, Pengarah Hubungan Media, GMAC
+1 (703) 668-9799 atau gbasye@gmac.com

Photos accompanying this announcement are available at: 

https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/169a8473-00e1-4f91-a7df-bb87194bbeb8

https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/82b88e8e-c767-4dce-89aa-964c05e0173a

MBA Starting Salaries Hit Record High in US Business School Hiring Strong in 2019