Graduate Management Admission Council Menerima Empat Sekolah Perniagaan Baharu untuk Keahlian

Sekolah Baharu Mewakili Geografi yang Pelbagai, Membawa Perspektif Penting dalam Menyokong Misi GMAC


RESTON, Va., Dec. 10, 2019 (GLOBE NEWSWIRE) -- Graduate Management Admission Council™ (GMAC™), sebuah pertubuhan global untuk sekolah perniagaan terkemuka, hari ini mengumumkan empat sekolah baharu yang memperoleh keahliannya. Penambahan Hult International Business School; Maastricht University, School of Business and Economics; Sabanci University, Sabanci Business School; dan Trinity College Dublin, Trinity Business School menjadikan jumlah keahlian GMAC sebanyak 229.

Ahli GMAC melalui proses jemputan sahaja yang ditadbir oleh lembaga pengarah organisasi. Calon kemudiannya akan menyertai proses permohonan komprehensif yang menyatakan komitmen berterusan untuk menyokong misi GMAC: menyediakan alat dan maklumat yang sewajarnya untuk sekolah dan bakat untuk meneroka dan menilai sesama sendiri.

“Jumlah sekolah perniagaan yang berkualiti di seluruh dunia bermaksud bahawa perjalanan seorang calon ke arah ijazah lanjutan tiada sempadan,” kata Sangeet Chowfla, presiden dan CEO GMAC.  “Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan institusi ini ke dalam keahlian GMAC kerana mereka mencerminkan globalisasi industri kita.  Setiap sekolah membawa wawasan dan kepakaran unik daripada pengalaman mereka sendiri dan akan menyumbang kepada misi kita secara signifikan.” 

Di samping memenuhi kriteria keahlian, setiap sekolah telah membuat ikrar khusus untuk membantu GMAC mencapai misinya.

Hult International Business School
Hult International Business School ialah peneraju pendidikan bukan keuntungan dan sekolah perniagaan A.S. pertama yang memiliki tiga akreditasi. Diberikan kedudukan oleh Financial TimesThe EconomistForbes, dan Bloomberg Businessweek, Hult menawarkan program peringkat siswa, siswazah, dan pendidikan eksekutif dan menganugerahkan ijazah AS dan UK merentasi lokasi kampus globalnya di Boston, San Francisco, London, Dubai, Shanghai, dan New York. Diasaskan oleh salah seorang usahawan paling berjaya Eropah—Bertil Hult—sekolah ini dibina atas kepercayaan bahawa kemahiran perniagaan hanya benar-benar boleh dipelajari melalui tindakan. Dengan memberikan penghayatan kepada pelajar dari seluruh dunia dalam pengalaman praktikal, amali bermula hari pertama, program di Hult membangunkan kemahiran yang majikan dan usahawan paling perlukan. Dengan kerjasama GMAC, Hult akan meneruskan usaha untuk mewujudkan komuniti global yang terdiri daripada graduan yang yakin, berkebolehan, bersedia menghadapi cabaran hari esok. 

Maastricht University, School of Business and Economics
Pendekatan baharu dan inovatif dalam pengajaran dan penyelidikan telah memacu reputasi Maastricht University School of Business and Economics sebagai sekolah perniagaan yang bertaraf tinggi.  Terletak di Belanda, Maastricht akan menggunakan pengalaman mereka untuk menyokong misi GMAC dalam membawa inovasi ke pasaran sementara membantu sekolah dan calon berhubung dengan satu sama lain. Mereka berkongsi komitmen GMAC untuk meningkatkan dan menambahkan perkhidmatan yang menyokong dan membina di atas usaha hebat yang dicurahkan oleh sekolah perniagaan untuk membawa masuk kelas yang pelbagai dan berbakat setiap tahun.  Maastricht akan menggunakan ilmu dan kepakaran industri untuk membantu dalam membangunkan bahan pendidikan pengurusan yang memperakui aliran terkini seperti pendigitalan, kemapanan, dan tanggungjawab.

Sabanci University, Sabanci Business School
Ditubuhkan pada 1999 sebagai sekolah pengurusan siswazah dan kemudiannya dikembangkan untuk merangkumi pendidikan peringkat siswa, Sabanci Business School (Sabanci SBS) di Istanbul, Turki dengan pantas telah menjadi salah sebuah sekolah perniagaan terkemuka di rantau itu, dengan kedudukan sebagai salah sebuah sekolah perniagaan terbaik oleh Financial Times. Sentiasa didorong oleh penyelidikan, Sabanci SBS menyediakan pelbagai program mencabar dan inovatif yang menyahut kepada keperluan terkini dan masa hadapan pelajar perniagaan dan juga persekitaran yang akan mereka hadapi kelak. Dalam semua program mereka, Sabanci SOM adalah sangat inovatif, menumpukan untuk membangunkan hubungan rapat dengan komuniti perniagaan, mewujudkan keseimbangan yang wajar antara teori dan amali dalam pengurusan, dan mendidik pengurus yang bertanggungjawab dari segi sosial. Sabanci SBS menyertai Perbincangan Meja Bulat Sekolah Utama GMAC di Turki dan menyediakan pandangan yang bernilai di seluruh rantau mereka. 

Trinity College Dublin, Trinity Business School
Trinity Business School terletak di tengah-tengah universiti penyelidikan terkemuka dunia di pusat bandar Dublin, sebuah ibu kota Eropah dan hab perniagaan global. Pendekatan Trinity Business School dalam pendidikan merangkumi penyelidikan antarabangsa dan kepakaran industri dalam pendekatan berdasarkan projek apabila impak pada perniagaan dan masyarakat adalah penting. Trinity Business School menyokong pelajar mereka untuk menamatkan pengajian dengan ‘kompas moral’ dan untuk cemerlang dalam ‘kepimpinan beretika’, membangunkan strategi perniagaan yang menggalakkan sikap beretika dalam kalangan pengguna dan pelabur.  Sebagai sebahagian daripada komitmen Trinity Business School untuk menyumbang kepada masyarakat global, mereka akan menyokong GMAC untuk terus menyampaikan kecemerlangan dalam pendidikan perniagaan dan menyediakan wawasan bernilai dari Ireland dan Eropah untuk membantu memperluas dan meningkatkan penawaran GMAC.

Untuk dipertimbangkan bagi keahlian dalam GMAC, sekolah harus melengkapkan proses permohonan dan mengekalkan proses penerimaan terpilih, menawarkan program siswazah dalam pengurusan perniagaan, subjek pengurusan atau setara, dan menyokong misi GMAC secara aktif dan menggunakan peperiksaan GMAT atau penilaian GMAC lain sebagai sebahagian daripada proses penerimaan dan pendaftaran mereka. Mereka juga menyertai tadbir urus GMAC, termasuklah mengundi dalam pengundian Lembaga dan perkara lain yang diperlukan oleh Majlis.

Perihal GMAC
Majlis Penerimaan Pengurusan Siswazah (GMAC) ialah persatuan peneraju sekolah perniagaan siswazah di dunia. Diasaskan pada 1953, kami komited untuk mewujudkan penyelesaian bagi sekolah perniagaan dan calon untuk menerokai, menilai dan berhubungan antara satu sama lain. Kami bekerja bagi pihak sekolah dan komuniti pendidikan pengurusan siswazah dan membimbing calon yang ingin menyambung pengajian ke pendidikan tinggi untuk memastikan semua bakat dapat dicungkil.

GMAC menyediakan penyelidikan bertaraf dunia, peluang dan penilaian pembangunan profesional untuk industri pendidikan pengurusan siswazah, yang direka bentuk untuk memajukan seni dan sains kemasukan. Dimiliki dan ditadbir oleh GMAC, peperiksaan Graduate Management Admission Test™ (GMAT™) ialah penilaian sekolah perniagaan siswazah yang paling banyak digunakan dan diiktiraf oleh lebih 7,000 program di seluruh dunia. Penilaian GMAC lain termasuklah peperiksaan NMAT oleh GMAC™ (NMAT®), untuk kemasukan ke dalam program pengurusan siswazah di India, Nigeria, Filipina, dan Afrika Selatan, dan Penilaian Eksekutif (EA), yang menyokong keperluan penerimaan untuk lebih 160 program di seluruh dunia.

Portal utama kami untuk sumber dan maklumat pendidikan pengurusan siswazah, www.mba.com, menerima 6 juta pengunjung setiap tahun dan menawarkan alat padanan Carian Sekolah dan perkhidmatan carian GMASS™ yang menghubungkan calon dan sekolah perniagaan .  Platform ini adalah sebahagian daripada GMAC Connect, sebuah suit perkhidmatan yang membantu sekolah menarik pelajar menerusi penyelesaian perekrutan yang menggabungkan kecerdasan pasaran, data, capaian dan titik hubungan calon.

Syarikat subsidiari GMAC termasuklah syarikat penerbitan dalam talian yang berpangkalan di UK, BusinessBecause, sebuah destinasi yang penuh dengan kandungan yang akan membantu pelajar mengenal pasti sekolah perniagaan yang sesuai semasa pertimbangan kritikal dan fasa pemilihan dalam perjalanan mereka, dan MBA Tour, yang menyokong usaha perekrutan global oleh sekolah perniagaan dengan menganjurkan acara yang menumpukan kepada pendidikan perniagaan di seluruh dunia.

GMAC ialah sebuah organisasi global dengan pejabat di China, India, Singapura, UK dan AS. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kerja kami, sila lawati www.gmac.com.

Orang hubungan media:
Geoffrey Basye, Pengarah Perhubungan Media, GMAC
+1 (703) 668-9799 atau gbasye@gmac.com